9/16/14

Pasangan Baru Bertunang Dituduh Melakukan Rompakan Menggunakan parang

Pasangan lelaki dan perempuan yang baru sahaja bertunang ditangkap dan dituduh melakukan rompakan menggunakan senjata parang di Port Dickson, Negeri Sembilan. Mereka dituduh merompak duit 2 lelaki di Telok Kemang, PD.

Seremban: Sepasang kekasih yang baru bertunang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang dan melarikan wang tunai kepunyaan dua lelaki di Telok Kemang, Port Dickson, dekat sini.

Tertuduh, Baderen Zaman Abu, 40, dan tunangnya, Norerwani Yahaya, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan pertuduhan pilihan menyimpan barang curi.
gambar hiasan
Mereka yang menetap di Pasir Panjang, Port Dickson, dekat sini, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama melakukan rompakan secara berkumpulan dengan bersenjata parang terhadap Muhamad Rohim Zaid Zainudin, 20, dan Mohamad Khairul Amizan Mohd Kamalruddin, 20, dengan mengambil beg pinggang, wang tunai, dua telefon bimbit, kunci motosikal dan beberapa dokumen peribadi membabitkan kerugian lebih RM1,000.

Kesalahan itu dilakukan di tepi pantai, Batu 9 Telok Kemang, Port Dickson, dekat sini, pada 6 September lalu, jam 3.40 pagi.
Bagi kesalahan itu, pasangan terbabit didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan pilihan, mereka bersama-sama didakwa menyimpan barang curi yang diketahui dilakukan dengan cara rompakan bersenjata terhadap dua mangsa sama di hadapan sebuah kedai di Jalan Pekan Pasir Panjang, Port Dickson, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang hari sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz tidak menawarkan sebarang jaminan untuk kedua-dua tertuduh itu.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Baderen yang memakai baju lokap ungu merayu agar dibenarkan jamin dengan nilai paling rendah kerana hanya bekerja sebagai buruh manakala Norerwani pula bekerja kilang di Melaka dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan Baderen diikat jamin RM10,000 dan Norerwani RM6,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan kedua-dua tertuduh itu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap Isnin minggu kedua.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 Oktober ini selain turut memberi syarat tambahan iaitu tidak mengganggu kedua-dua mangsa dalam kes berkenaan.


No comments:

Other News

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...