7/21/14

Bersalin selepas 2 bulan nikah

Hasrat pasangan kekasih cuba pelbagai cara bunuh janin gagal. BANYAK duri dan onak perlu dilalui sebelum seseorang itu menemui kebahagiaan. Kadang-kadang ujian itu terlalu getir sehingga hilang pertimbangan dan harga diri sebagai manusia. 

Kongsi Rasa kali ini menyingkap kisah seorang wanita yang hanya mahu dikenali ‘AN.’ Dugaan berat mengandung anak luar nikah nyaris menjadikannya sebagai pembunuh. Bagaimanapun, AN tidak dapat melawan takdir yang mahukan bayi dikandungnya lahir untuk menikmati kehidupan dunia. 

Dalam e-mel menceritakan keterlanjuran itu, AN berkata ia berlaku kerana terlalu sayangkan tunangnya serta bagi ‘mengikat’ lelaki itu agar tidak beralih kepada wanita lain.

Ketika bertunang, banyak pancaroba dilalui AN dan tunang bagi menyediakan wang hantaran ditetapkan keluarga. Namun itu bukan masalah kerana tunangnya berniaga sendiri dan agak berjaya.

Sudah pasti, pertunangan yang tidak dilanda badai, orang kata tak sah.
Begitulah dilalui AN yang pernah mencurigai kejujuran tunangnya. AN menyedari perubahan itu apabila tunangnya mendabik dada menghebahkan kejayaan perniagaannya itu atas usahanya sendiri. Ketika itu, tunang berasakan dirinya kacak dan kesenangan yang dikecapi itu mendapat perhatian wanita yang ingin mendampinginya. Dia turut memberi alasan berdendam kerana menuduh AN ada hubungan dengan lelaki lain biarpun AN tidak pernah berbuat demikian.
Bak pepatah harapkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Begitulah perjalanan hidup tunang AN yang dilanda masalah perniagaan apabila tapak niaganya diambil pihak berkuasa bagi pembinaan bangunan. Walaupun pihak berkuasa menggantikannya dengan tapak baru, tetapi ia tidak berupaya memberikan pulangan menguntungkan seperti sebelumnya.

“Masa menempuh gerbang perkahwinan hanya tinggal lapan bulan. Wang hantaran dikumpulkan tunang juga belum mencukupi. Atas dasar ingin membantu, saya cari kerja dan akhirnya berjaya. Biarpun pekerjaan itu baik dan gajinya agak lumayan, tetapi tempat kerja jauh dari rumah keluarga. Saya mengambil keputusan menetap bersama ibu saudara yang tinggal berhampiran tempat kerja.

“Kesibukan bekerja menyebabkan saya sukar menghidu kecurangan tunang yang akhirnya mengakui berkasih dengan wanita lain. Dia memberi alasan mereka jarang berjumpa dan AN tidak endah hubungan mereka kerana terlalu sibuk bekerja.

“Demi buktikan rasa cinta, saya sanggup mencari kerja lain yang berhampiran dengan tunang. Gaji pekerjaan keduanya tidaklah selumayan yang pertama tetapi ada ruang untuk bersosial. Kerana terlalu kerap berjumpa dan mahu membuktikan kasih sayang, kami akhirnya terlanjur. Selepas sebulan melakukan hubungan, saya rasakan ada perubahan pada dirinya,” katanya AN.

Hari bahagia kian menjengah, tetapi wang hantaran belum juga mencukupi. Pada saat berdepan kesusahan itu, adik tunang tiba-tiba berdepan masalah hutang. Ketika itu tunang bekerja dengan orang lain. Bagi mengatasi masalah adik, tunang mengorbankan wang hantaran yang dikumpulnya untuk membantu si adik. 

Bagi AN pula, Selepas disahkan mengandung, dia tergamak melakukan pelbagai cara menggugurkan kandungannya seperti makan tapai, nanas dan selain menggugurkan kandungannya di klinik! Tunang menurut saja tindakan AN walaupun tidak merelakan. Bagaimanapun, hasrat menggugurkan kandungan itu tidak dapat dibuat kerana tiada wang. AN pernah berusaha membuat pinjaman, tetapi kerana niat tidak baik, semua permohonan pinjamannya tidak diluluskan. AN juga sanggup melakukan apa saja bagi mengelak keluarga tahu perubahan dirinya seperti memakai bekung.

Hari perkahwinan kian hampir. Untuk mencukupkan wang hantaran, AN membuat pinjaman dan kali ini pinjamannya diluluskan. Ketika itu AN menyedari bahawa Tuhan amat menyayanginya dan bayi dan tidak berdosa itu.

Ibu mengesyaki perubahan diri AN, tetapi semuanya disembunyikan sehinggalah perkahwinannya berlangsung tanpa seorang pun perasan AN mengandung. Selepas berkahwin, AN dan suami menyewa rumah sendiri. Suami memulakan perniagaan baru. Untuk menghidupkan perniagaan ini, AN banyak meminjamkan wang gajinya membayar kereta suami dan juga pinjaman bank bagi urusan perkahwinan dulu.

Selepas membayar insurans kereta sendiri, wang gaji hanya berbaki sedikit. Dua hari sebelum bersalin, AN sempat keluar membeli sedikit keperluan bayinya. Ketika AN sakit bersalin, suami ada di kedai.

Bersalin memang menyakitkan, itulah kata-kata dapat diluahkan AN ketika melalui proses bersalin. AN bersyukur akhirnya dia melahirkan bayi lelaki yang comel. Sebelum itu AN begitu takut anak yang dilahirkan cacat kerana perbuatannya yang cuba membunuh bayi pada awal kehamilan.
gambar hiasan
Berita AN bersalin menggemparkan keluarganya dan juga ibu mentuanya. Apa tidaknya kahwin baru dua bulan tetapi sudah beranak. Nasib AN baik kerana ibu mentua boleh menerima keadaannya apatah lagi apabila melihat cucu yang comel itu.

Ibu bapa AN pula tidak mahu AN pulang ke rumah mereka dan minta dia habiskan pantang di rumah emak saudaranya yang kebetulan tidak mempunyai cucu. Emak saudara beriya-iya meminta bayi itu diberikan kepadanya, tetapi tak mungkin AN dapat berpisah dengan anak sulungnya itu. Dia rela menjadi ibu hujung minggu daripada berpisah dengan anaknya.

Anehnya, di tempat kerja, AN berlagak seperti biasa dan memberi alasan keguguran kerana bercuti lama. Namun, Kak Ani tidak tahulah sampai bila AN akan menutup pekung kepada rakan sekerja. Sebenarnya anak itu tidak bersalah, dia tetap anak kandung AN, tapi dikira tak sah taraf kerana mengandungkan bayi sebelum melalui akad nikah.

Mungkin untuk menceritakan perkara sebenar, ia akan memalukan diri sendiri dan jika itu sebabnya, AN tidak perlu bercakap bohong untuk menambah dosa saja. Bertaubatlah supaya dosa lalu diampunkan Tuhan. Biarlah apa sudah berlaku itu dilupakan saja dan mulakan hidup baru tanpa perasaan bersalah. Besarkan anak itu dengan penuh kasih sayang apatah lagi keluarga AN juga sudah memaafkan dan boleh menerima kehadiran cucu itu.

AN dan suami juga harus memastikan diri tidak dikelilingi hutang. Masalah ini jika tidak ditangani dengan baik, boleh jadi punca krisis rumah tangga. Mungkin keadaan tidak terasa sekarang, tetapi apabila anak makin besar dan jumlah keluarga meningkat, ekonomi rumah tangga yang tidak kukuh boleh mencetuskan perbalahan suami isteri. Ingatlah ketika kita senang memang ramai orang ingin menumpang, tetapi apabila kita susah, ramai orang bertepuk tangan. Inilah resam dunia sekarang yang lebih suka melihat istana rumah tangga itu runtuh daripada pahala membinanya.


No comments:

Other News

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...