10/12/14

Guru Dibuli Dan Diugut Oleh Pelajar

Biasanya kita dengar pelajar atau murid dibuli tetapi sekarang ini, pelajar juga sudah berani membuli golongan cikgu.

BANDARAYA MELAKA - Kerajaan negeri memandang serius kejadian guru sekolah di negeri ini yang didakwa dibuli pelajar mereka.

Setakat ini, dua kejadian berlaku membabitkan guru yang dibuli selepas mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar berkenaan.

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Dan Teknologi, Teknologi Hijau Dan Inovasi negeri, Datuk Md Yunos Husin berkata, situasi terbabit amat membimbangkan dan mungkin banyak lagi kes serupa tetapi tidak dilaporkan.

Beliau berkata, dua laporan polis dibuat di Melaka Tengah dan Durian Tunggal, minggu lalu.

"Dalam kes pertama, seorang guru wanita berusia 26 tahun mendakwa diejek dengan pelbagai perkataan yang menghina di sebuah kedai alat tulis di Bukit Piatu selepas mengambil tindakan terhadap murid berkenaan kerana membuat bising di dalam kelas.
"Dalam satu lagi kejadian, seorang guru lelaki berusia 43 tahun dari sebuah sekolah vernakular di Durian Tunggal didakwa diugut abang seorang murid selepas dia mengambil tindakan disiplin terhadap murid berkenaan," katanya di sini, semalam.

Yunos berkata, beliau difahamkan guru wanita berkenaan bertindak membuat laporan polis untuk melindungi dirinya dan bukannya untuk merujuk isu berkenaan kepada pihak Jabatan Pendidikan.

“Bagaimanapun, kita  berpendapat Jabatan Pendidikan perlu dilibatkan dalam hal ini kerana ia satu kejadian yang serius,” katanya.

Sementara itu, menurut Yunos, isu berkenaan akan dibincangkan ke Mesyuarat Exco dalam usaha mencari jalan penyelesaian.

“Dalam hal ini, satu jalan penyelesaian yang konkrit perlu dicari bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah ini tetapi untuk memastikan ia tidak terus merebak,” katanya.

source

No comments:

Other News

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...