11/2/14

Penyanyi Perempuan Buat Aksi Menggairahkan

Penyanyi perempuan membuat persembahan tarian yang menggairahkan amat dikesali dalam pertnganjuran dikir barat.

MARANG - Adun Alor Limbat, Ariffin Deraman kesal dengan penganjuran dikir barat yang menampilkan penyanyi perempuan dalam aksi tarian mengghairahkan di Rawai, di sini, malam kelmarin.

Kata Ariffin, program seumpama itu akan meninggalkan kesan negatif kepada masyarakat, tambahan pula orang Islam masih berada di awal Muharam, yang sepatutnya dihayati dengan melakukan amalan makruf dan meninggalkan amalan mungkar.

“Saya kecewa kerana program seumpama ini diadakan di dalam kawasan Dun saya. Tatkala masyarakat perlu didedahkan dengan lebih banyak majlis ilmu, datang pula program berbentuk maksiat seperti ini yang seolah-olah mencabar hukum ALLAH SWT.

"Apa relevannya pihak berkuasa beri kelulusan permit bagi program seumpama ini? Yang kita tahu, terang-terangan program ini adalah program maksiat dengan aksi selebriti perempuan menari gelek dan berpakaian menjolok mata. Jadi, kita tidak akan teragak-agak untuk berbuat sesuatu sekiranya program seumpama ini diadakan lagi pada masa akan datang. Ini ketegasan dan prinsip kita,” katanya.

Difahamkan, pertunjukan dikir barat yang menampilkan beberapa penyanyi wanita dengan aksi mengghairahkan itu berlangsung di lokasi tertutup di Rawai dengan mengenakan yuran RM6 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak.

Terdahulu, Pemuda Pas Marang turut kesal dan membantah penganjuran dikir barat seumpama itu kerana menampilkan penyanyi perempuan yang berpakaian seksi dengan aksi mengghairahkan.

Tambahan pula, Marang dikenali sebagai kawasan yang subur dengan ilmu, selain negara turut bergelut dengan pelbagai masalah sosial yang melanda umat Islam sekarang. Setiausaha Pemuda Pas Marang, Mohamad Aswadi Mohamad dalam kenyataannya berkata, penganjuran itu menggambarkan sikap acuh tidak acuh kerajaan berkaitan program hiburan agak melampau membabitkan artis-artis yang tidak mengikut syariat.

Tambahan pula katanya, hiburan merupakan elemen berpengaruh dalam kalangan remaja dan hiburan bersifat mendidik akan mendorong golongan berkenaan mengembangkan sahsiah diri secara positif.

“Jika mereka terima pendedahan bersifat hedonistik (mementingkan keseronokan) semata-mata, ia akan mendorong golongan muda bertindak menurut nafsu, tambahan pula artis ditampilkan mengundang kelucahan.

"Jadi, kita harap pihak berkaitan lebih berhati-hati dalam menyaring sebarang kemasukan penganjuran hiburan kelak," katanya.

Pemuda Pas Marang juga meminta pihak berkuasa lebih peka dengan sensitiviti umat Islam, sementara kerajaan perlu lebih tegas dalam menyekat unsur yang boleh merosakkan akhlak generasi muda, manakala Majlis Daerah Marang pula menyenaraikan penganjur tidak mengikut syarat.

Sementara itu, jurucakap Majlis Daerah Marang, semalam, mengesahkan menerima permohonan penganjur bagi mengadakan pertunjukan berkenaan dengan syarat-syarat ditetapkan.


“Namun jika persembahan itu didapati lari daripada konsep dikir barat (seperti dimohon) termasuk jika ‘terlebih’ atau tidak ikut syarat, kita akan menyenaraihitamkan penganjur,” katanya.

No comments:

Other News

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...