7/25/14

Neelofa Buka Mulut Mengenai Keputusannya Berhijab Penuh

Ingat tak minggu lalu, Lofa berjanji nak cerita serba sedikit hala tuju Neelofa di dalam industri selepas ‘penghijrahan’ Lofa? 

Hari ini Lofa nak kotakan janji itu. Ramai juga bertanya, adakah lepas ini Lofa akan terus meninggalkan dunia seni atau apa perancangan Lofa.

Semua tahu, industri seni kita bukan sempurna, bukan indah seperti digambarkan, tapi penuh dengan onak duri dan cabaran.



Secara jujurnya, pada awal Lofa mengambil keputusan untuk berhijab penuh, ada juga terdetik dalam hati mengenai persoalan adakah Lofa masih mampu bertapak dalam industri, adakah penerbit dan peminat akan menerima penampilan baru Lofa. Semua perasaan itu bercampur gaul. 

Alhamdulillah, itu bukan halangan. Lofa percaya, masyarakat kita kini matang dalam menilai. Sebaliknya, respons yang Lofa terima sangat mengujakan. Semua menyambut baik keputusan Lofa.

Paling seronok, penerbit Nona dan Meletop sangat teruja dengan penampilan baru Lofa. Malah, siap beritahu yang mereka ada perancangan seterusnya untuk Lofa. 

Itu yang Lofa bersyukur sa­ngat kerana kedua-dua produksi ini sangat terbuka dan menyokong. Jadi jawapan kepada persoalan di atas, Lofa akan masih meneruskan aktiviti seni Lofa. 

Cuma apabila berhijab, mesti ada serba sikit perubahan yang Lofa perlu lakukan. Lofa rasa lepas ini perlu menjadi lebih selektif dalam memilih watak dan tawaran. 

Menjadi selebriti, pasti setiap mata akan memandang gerak geri Lofa. Ya, Lofa sangat setuju dengan satu kenyataan dikeluarkan pe­nyanyi Alyah iaitu cabaran selepas berhijab pasti lebih besar. 

Tekanan itu sudah Lofa rasakan. Paling mencabar ialah memilih pakaian sesuai untuk digayakan. Tambah pula kalau membabitkan acara besar dalam kalendar seni negara. 

Kalau dulu pakat main pakai saja apa yang dirasakan cantik dan menarik, sekarang kena fikir masak-masak. Tak mahu nanti kalau pakai baju yang bukan-bukan, dikritik pula. 

Lofa sangat beruntung sebab kenalan Lofa di butik Mimpi Kita sa­ngat memahami cita rasa berfesyen Lofa. Selain baju sangat menarik, busana di Mimpi Kita sangat bersesuaian dengan imej yang Lofa cuba tampilkan. 

Pendek kata, tak ada masalah untuk Lofa memenuhi undangan acara hiburan. Pembaca semua nantikan, ya. 

Seperkara lagi, bila berhijab, Lofa rasa dapat satu ‘penyakit’ yang membuatkan Lofa tergelak kalau dikenang balik. ‘Penyakit’ yang Lofa maksudkan ialah penyakit suka beli tudung. 

Pada hal dekat rumah banyak lagi tak pakai tapi pantang nampak tudung cantik dan kena dengan cita rasa, terus Lofa sambar. 

Dulu waktu belum berhijab, Lofa rajin menyertai festival dan bazar jualan. Waktu itu terlintas juga dalam fikiran, kenapa wanita berhijab macam kena histeria bila nampak tudung cantik. 

Kalau murah, ibarat bonus. Sekarang bila dah alami sendiri, baru Lofa tahu kepuasan memiliki tudung yang memenuhi cita rasa sukar digambarkan. Kalau boleh, nak beli semua warna yang ada. 

Kalau dulu nak pergi mana-mana, pening nak buat rambut dan sebagainya. Sekarang, nak keluar rumah mesti fikir apa bentuk gaya tudung yang nak digayakan. 
Mana dengan nak belajar cara lilitan lagi dan memilih pin bersesuaian. Lofa sangat seronok sebenarnya dengan diri Lofa yang baru. Lagi seronok dapat bereksperimen dalam berfesyen. 

Nak dijadikan cerita, minggu lalu, Lofa terus terbang ke Bangkok bersama rakan mencari material menarik dan bersesuaian untuk Lofa buat baju sendiri. Mungkin kepuasan berfesyen itu akan lebih dirasai agaknya. Tak sabar tunggu hasilnya nanti. 


Pada kesempatan ini juga, Lofa hendak perbetulkan anggapan sesetengah orang mengenai tujuan dan keputusan Lofa berhijab. Sebenarnya, dakwaan dan anggapan semua pihak itu tidak benar. 

Lofa tak pasti apakah cara terbaik untuk jelaskan bagaimana Lofa tergerak untuk berhijab penuh. Semuanya berlaku dengan tenang dan sekelip mata. 

Lofa terbaca satu kata-kata yang buat Lofa sangat tersentuh. “You can’t please everybody, so put God first and let the rest fall in place.” Bila Lofa hayati kata-kata ini, hati Lofa terus sayu. 

Lofa terfikir selama ini sibuk nak jaga hati orang itu, apa orang ini akan cakap dan sebagainya, tapi Lofa tak terfikir pula kepentingan ‘apa Tuhan akan kata’. 

Mulai saat itu, Lofa tahu ini yang terbaik untuk Lofa dan tekad untuk berhijab. Kita tak boleh menutup mulut orang, tapi Lofa nak semua orang beri peluang dan sokongan supaya Lofa terus istiqamah dalam apa yang Lofa lakukan. 

Bagaimana pula respons keluarga Lofa? Sebenarnya, Lofa mula berhijab pada awal Ramadan. Tak ada siapa tahu. Hanya hari kedua Ramadan, baru mama Lofa dapat tahu. Itu pun ketika mama datang melawat Lofa di pejabat. 

Sebaik melangkah masuk, mama terus menangis tengok Lofa. Dengan tidak semena-mena Lofa turut menangis. Lofa rasa pada ketika itu, sayu sangat. 

Lofa rasa, doa dan permintaan mama akhirnya dapat Lofa tunaikan. Adik-beradik lain juga menyokong keputusan Lofa. Alham­dulillah, kebahagiaan itu lebih dirasai sekarang. Syukur. 

Tak mengapa, minggu depan Lofa akan kembali dengan pelbagai cerita menarik. Antara yang Lofa rasa nak kongsi ialah persiapan raya Lofa. 

Haa! nak tahu berapa banyak baju Lofa, kuih apa kegemaran Lofa, tunggu minggu depan. Sebarkan rasa cinta. Salam.

No comments:

Other News

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...