7/23/14

Janda Kaya Tertipu Ajakan Untuk Kahwin

Kuala Lumpur: Teruja dengan ajakan seorang lelaki ‘mat salih’ untuk berkahwin dan berhijrah ke Jakarta, Indonesia menyebabkan seorang janda kaya ditipu kekasihnya membabitkan kerugian kira-kira RM200,000.

Difahamkan, mangsa seorang ahli perniagaan berusia 48 tahun diperdaya sindiket penipuan Internet Afrika yang menyamar sebagai lelaki warga Amerika Syarikat (AS) dengan menggunakan nama Smith.

Pegawai Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Asisten Superintendan Mohd Syafiq Jinuin Abdullah (gambar) berkata, mangsa mula mengenali suspek awal Jun lalu melalui laman sosial Facebook (FB).

“Sepanjang mengenali suspek, mangsa tidak pernah bertemu lelaki itu berikutan suspek mendakwa kononnya berada di AS.

Namun, dia berjanji akan menemui mangsa di Indonesia.

“Suspek juga memberitahu dia ingin membeli sebuah rumah banglo di Indonesia dan meminta mangsa menjadi ‘orang tengah’ untuk menguruskan pembelian itu,” katanya.

Katanya, suspek turut menyatakan hasratnya untuk mengahwini mangsa dan menetap bersama mangsa di Jakarta meskipun kurang sebulan bercinta.

“Suspek berjaya menambat hati mangsa yang berasal dari Indonesia dengan madah cinta dengan mengaku kononnya sudah terlalu jatuh cinta dengan wanita itu,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian meminta mangsa memberikan nombor akaun bank kononnya untuk memasukkan wang tunai bagi membeli rumah berkenaan.

“Bagaimanapun, dua hari kemudian suspek menghubungi mangsa dan memberitahu proses memindahkan wang berjuta dolar ke akuan mangsa berdepan masalah berikutan disekat pihak bank.

“Suspek juga memberitahu mangsa perlu membayar sejumlah wang bagi melepaskan wang yang disekat pihak bank itu,” katanya.

Mohd Syafiq berkata, mangsa akur dan memasukkan wang RM200,000 ke dalam akaun bank lain diberikan suspek.

No comments:

Other News

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...