7/20/14

Pemberontak ambil 196 mayat mangsa nahas MH17

Hrabove (Ukraine): Pemberontak pro-Russia memaksa pekerja kecemasan Ukraine memberi 196 mayat penumpang MH17 kepada mereka, kata pemerhati antarabangsa dan pegawai Ukraine.

Jurucakap Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OCSE) berkata, mayat tersebut dimasukkan ke atas kereta api bergerabak dingin di Torez, kira-kira 15 kilometer daripada kawasan pesawat MH17 terhempas.

Agensi berita Russia melaporkan kereta api itu menuju ke Donetsk, bandar yang dikuasai mereka.

Wartawan Associated Press (AP) sendiri menyaksikan tentera pemberontak memasukkan mayat mangsa yang dibungkus dengan plastik ke dalam lori sebelum membawa keluar dari kawasan nahas.

Pada pagi Ahad, wartawan AP mendapati tiada mayat di kawasan nahas dan pasukan perkhidmatan kecemasan dilihat menyelusuri padang gandum untuk mencari anggota badan dan tentera pemberontak yang bersenjata juga gagal dikesan di kawasan berkenaan.


Jurucakap Menteri Kecemasan Ukraine, Nataliya Bystro berkata, pekerja sukarela di wilayah yang dikawal tentera pemberontak itu dipaksa untuk menyerahkan semua mayat yang ditemui kepada pemberontak bersenjata.

"Kami tidak tahu ke mana mereka membawa mayat itu," kata Bystro.

Seorang pekerja perkhidmatan kecemasan, Alexander Pilyushny, berkata, tentera pemberontak itu mengambil masa beberapa jam untuk membawa semua mayat itu keluar dari kawasan nahas.

Katanya, dia bersama rakan kerja yang lain tiada pilihan selain akur pada arahan kumpulan pemberontak untuk menyerahkan mayat kepada mereka.

"Mereka bersenjata dan kami tidak. Mereka (tentera pemberontak) datang, memasukkan mayat ke dalam lori dan membawa mereka ke lokasi yang tidak diketahui," katanya. - AP


No comments:

Other News

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...